Ahad, 23 Ogos 2015

Kampung Peringat di era awal kemerdekaan



Malaysia (Malaya) merdeka 31 Ogos 1957. Awal kemerdekaan (akhir  1950an dan awal 1960an), tak banyak pembangunan dijalankan. Era itu ialah era  peralihan kuasa dari penjajah Inggeris kepada anak watan. Kabinet yang dibentuk lebih memberi tumpuan kepada  aspek menyesusuikan diri dengan dunia pentadbiran. Kangkangan kewangan juga menjadikan pembangunan infrastruktur ketika itu lembab. 

Allahyarham Pak Su Nuh
Namun rakyat tidak pernah merunggut, jauh sekali mencaci kerajaan. Mereka faham kesulitan terpaksa ditanggung oleh sebuah pentadbiran baru yang pastinya serba serbi kekurangan termasuk kewangan untuk membiayai kelompongan yang tak terisi di zaman penjajah. Rakyat mengambil inisiatif  sendiri, bergotong royong, menggunakan tulang empat kerat membina  jalan-jalan kampung,  pasar dan sekolah,  dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa - apa balasan. Suatu bentuk pengorbanan yang amat tinggi nilainya, namun  pengorbanan mereka tak pernah disebut generasi sekarang, samada oleh orang politik atau non politik.  

Ketika  usia saya  tujuh tahun, masih ingat. Rumah almarhum ayah pernah dijadikan tempat mensyuarat jawatankuasa pembinaan sekolah. Waktu itu sekolah kampung saya - Peringat belum wujud. Satu-satunya sekolah paling dekat ialah Sekolah Kebangsaan Padang Kala, kurang lebih 4 kilometer dari Kg. Peringat. Berulangalik ke sekolah  dengan berjalan kaki di bawah panas terik matahati. Bagi   ibu bapa yang berada, dibelikan basikal untuk anaknya ke sekolah.  Zaman itu sesiapa memiliki  basikal janama Raleigh dianggap orang kaya. 

Allahyarham Pak Cu Dir
Bukan semua murid-murid sekolah pakai kasut, yang berkaki ayam juga ramai, namun cikgu faham masalah mereka.  Baju putih tak kelihatan  putih, bersalut lumpur kalau musim hujan meredah sawah bendang. Baju cepat kotor antaranya kerana papan selit, iaitu sejenis papan hitam berukuran satu kaki persegi sebagai “buku” tulis  dengan  mengunakan pensel khusus. Ia  boleh dipadamkan  selepas habis menulis untuk menulis yang lain. Murid-murid dari darjah satu sehingga darjah tiga  diwajibkan menggunakan papan selit, hanya murid darjah empat ke atas baru mengenal kartas dan buku. 

Tahun 1957 tahun kemerdekaan, saya darjah satu di sekolah Padang Kala. Ayah belikan basikal Raleigh  untuk berulangalik. Zaman itu masih belum ada basikal untuk kanak-kanak. Semua basikal yang dijual dipasaran ialah basikal untuk kegunaan orang tua.  Ada dua jenis, yang besar sekaligus boleh muat  barang  dan satu lagi  basikal sports yang bentuknya sedikit kecil. Ayah belikan basikal sports.  Olehkerana saya belum mahir mengendalikan basikal, dan  tak sepadan pula  dengan ukuran badan. Lalu ayah meminta murid senior Sekolah Padang Kala, bebetulan tinggal di Peringat dan berjiran pula, iaitu Nawi Pak Ngah. Abe Wi sekarang (2015) tinggal  di Kuala Lumpur selepas bersara dari tentera. 

Allahyarham Tok Gawa Haji Wan Ismail
Cikgu yang mengajar saya darjah satu asal  Kg. Melor, iaitu Cikgu Dauda, keturunan Afgan atau akrab dengan panggilan Tok Seh (Syeikh).  Anak saudara Cikgu Dauda menjadi bintang filem terkenal di Malaysia tahun 1970an iaitu  Allahyarham Ed Osmera. Di Kelantan wujud beberapa perkampungan Tok Seh  antaranya di Melor, Machang, Jertih (Terengganu) dan Pekan Golok, Narathawat (Thailand). Mantan Ketua Siasatan Jenayah PDRM (1980an), Datuk Zaman Khan juga keturunan Tok Seh. Begitu juga Haji Abdul Razak Abbas, bekas penceramah PAS suatu masa dulu juga keturunan Tok Seh Afgan. Namun generasi Tok Seh  hari ini rupa parasnya tak berapa Tok Seh, mungkin kerana faktor  kahwin campur.

Majoriti rakyat Malaysia (Malaya) ketika itu mahukan kemerdekaan. Wajah-wajah ceria menunggu dengan debar tanggal 31 Ogos untuk sama-sama  meneriakkan kalimat keramat “Merdeka”. Bebas dari penjajah Inggeris yang telah ratusan tahun memerintah   negeri-negeri Tanah Melayu. Namun dalam suasana kegembiraan yang tak tergambarkan itu, rupanya terdapat juga warga   kampung yang menolak  kemerdekaan.  

Allahyarham Pak Cu Ya
Alasan yang diberikan ialah; bangsa kita belum mampu  mendari. Mahu bikin sebatang jarum pun belum mampu, bagaimana mahu memerintah. Rakyat mahu makan apa?. Salah seorang antarnya ialah Zakaria Ismail (Allahyarham), atau akrab dengan panggilan Pakcu Ya. Beliau pendokong  tegar Parti  Negara yang berlambangkan Gemal Padi. Di rumahnya  dan kawasan sekitar  ditampal simbol parti yang diasaskan Dato’ Onn Jafaar selepas keluar Umno (1955). Pakcu Ya juga seorang bomoh dan guru tomoi (boxing) yang terkenal. Pernah berguru (tomoi) dengan beliau.

Ada seorang lagi yang anti kemerdekaan di Kota Bharu. Lelaki  separuh usia yang menjadikan  pasar besar Kota Bharu (sebelum pasar Siti Khadijah) sebagai tempat lepak. Setiap pagi meneriakkan “Merdeka. Merdeka.  Merdeka  apa, nak makan nasi berlauk pun payah” Suaranya keras, 100 meter boleh dengar dengan jelas. Beliau setiap pagi melaung perkataan itu sehingga menganggu urusan antara penjual dengan pelangan.  

Anehnya. Bila diberikan sebungkus nasi berlauk, lelaki itu pun diam. Namun, beliau akan meneriakkan rasa benci akan   kemerdekaan  bila perut kembali  kosong.  Penjual-penjual nasi berlauk di pasar besar Kota Bharu sekitar awal tahun 1960an itu  sudah benar-benar faham  dengan perangai lelaki itu. Kalau tak mahu diganggu dengan suara bisingnya,  cepat-cepat hulurkan nasi berlauk dan secawan kopi. Lelaki itupun sudah lama meninggal dunia.

 Berbalik kepada pembinaan sekolah Kebangsaan Peringat. Awal merdeka dikenali sebagai Sekolah Rakyat Peringat, tak lama kemudian ditukar kepada Sekolah Umum Peringat, sekarang menjadi Sekolah Kebangsaan Peringat. Biasalah! Bila menteri pelajaran bertukar, nama sekolah ikut  bertukar,  sistem pelajaran bertukar, bahkan nama kementerian pelajaran diubah menjadi kementerian pendidikan. Lebih teruk lagi, nama negara bertukar. Dulu Persekutuan Tanah Melayu, menjadi Malaya,  mungkin kerana bunyinya tak sedap, diubah menjadi Malaysia. 

Allahyarham Pak Cu Ya
Jawatankuasa pembinaan sekolah Rakyat  Peringat dipilih dari kalangan warga kampung yang berpengaruh dan disegani masyarakat, antaranya yang saya ingat Pak Su Noh, Pak Cu Ya (Kedai Peringat), Pak Chu Dir, Tok Aji Che Wel, Pak  Da Daud (Kg. Kubang Gatal), Tok Wan Omar (Cabang Tiga Perol), dan Tok Wan Hussain (Depan Bernas). Tok Wan Abbas imam masjid Peringat, Tok Gawa Haji Wan Ismail Melor sebagai pengerusi.

Jawatankuasa itu akan bersama orang-orang kampung masuk bukit menebang kayu, bawa balik dengan lori. Kayu-kayu yang berukuran besar dijadikan tiang, yang kecil buat kasar jantan, perabun, jerial dan sebagainya.  Stelah siap dibangunkan , dicari pula daun rumbia untuk buat atap, tukang-tukang mahir menganyam atap dikerah. Bukan diberikan upah, hanya djamu chaca dengan air kosong. Dinding juga dari  anyaman buluh. Sementara papan hitam untuk cikgu menulis dari papan yang cat hitam. 

Allahyarham Cikgu Nik Sin
 Lantai bukan dikonkrit dengan semen, ia dari tanah biasa, oleh kerana tiap-tiap  hari murid-murid  pijak akhirnya menjadi keras macam tanah kor. Tapi kalau musim hujan tangkujuh , kebetulan atap tiris, lantai menjadi seperti tempat itek berkubang. Tapi cikgu-cikgu dan murid-murid tak merunggut. Demikian tinggi tahap  kesabaran datuk nenek kita dulu menjalani kehidupan yang serba getir.
Jawatankusa pembinaan sekolah rakyat itu harus pula menyumbang setiap orang seorang guru untuk mengajar di sekolah itu secara sukarela. (Tetapi Kementerian Pelajaran ketika itu berjanji guru-guru itu akan diserapkan menjadi guru tetap bergaji/berpencen dibawah kementerian).

 Pak Su Noh menyumbang anaknya Cikgu Nik Mat, Pak Cu Ya Kateh menyumbang Cikgu Shaari yang diimpot  dari Perak, Tok Wan Hussain-  anaknya Cikgu Awang, Tok Wan Omar – Cikgu Razak Padang Mokan (atau Cikgu Arifen Padang Mokan?), Pakcu Dir – Cikgu Ismail, Pak Da Daud menyumbang warisnya Cikgu Hamid, manakala  ayah saya Tok Aji Che Wel, tak ada anak lelaki yang cukup umur,  maka disumbangkan waris terdekat iaitu Cikgu Hashim.  

Cikgu Nik Yahya
Kurang lebih setahun guru-guru ini mengajar tanpa gaji atau elaun. Bagi anak-anak  orang kaya seperti Cikgu Nik Mat tak menjadi masalah, tapi yang lain saya lihat tak bertukar baju. Pergi mengajar naik basikal buruk. Namun setelah kementerian membayar gaji dan gaji tertunggak, perubahan fizikal naik  mendadak.  Mokosikal - motosikal Honda di pakar di depan sekolah menggantikan basikal cabut dah naik kurap. Itu biasalah! Yang penting ialah kesabaran bekerja selama setahun tanpa gaji. 

 Nama-nama besar pengerak masyarakat Kg. Peringat era awal kemerdekaan itu sudah tiada lagi. Dari Allah mereka datang, kepada Allah jua kembali. Ayahku yang dikasih Tok Aji Che Wel, Abang Iparku  Pak Da Daud, Pak Chu Dir, Tok Wan Omar, Pak Su Noh, Tok Wan Hussain, Pak Cu Ya Kateh, Tok Gawa Haji Wan Ismail. Begitu juga cikgu-cikgu yang turut menyumbang tenaga dan ilmu untuk mendidik  anak-anak kampung Peringat seperti Cikgu Shaari, Cikgu Awang, Cikgu Razak, Cikgu Arifen, Cikgu Hamid, Cikgu Hashim juga  sudah kembali ke Rahmatullah. Yang tinggal  (2015) Cikgu Nik Mat, Cikgu Ismail, Cikgu Nik Yahya. Kepada tokoh yang sudah pulang ke negeri akhirat kita hadiahkan Al Fatehah…diiringi dengan doa, berbahagialah di alam sana bersama orang-orang beriman dan bertakwa, dan kepada yang menunggu giliran,   juga dengan doa agar kita tutup kehidupan kita di dunia yang fana ini dengan kalimat Laillah  illallah , Muhammadul Rasulullah. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan