Allahyarham Rahimidin Zahari no 2 dari kiri |
Obituari -Majalah Horison (Indonesia) Julai 2015 |
Masih segar dalam ingatan! Setiap kali bercuti balik kampung, ia singgah di
Balai Kartun Rossem (BKR), Peringat, walaupun dihimpat masa dari jadualnya yang
padat. Bebetulan untuk ke rumahnya di Kg. Padang Mo’kan (Becah Keranji), harus
melewati BKR, justeru kesempatan untuk singgah, menjengok dan bersilaturahim menjadi mudah.
Kali terakhir beliau singgah awal April 2015, sempat saya
tunjukkan sebuah lukisan potret wajah beliau
yang saya lukis. Beliau tersenyum,
walaupun ketika itu lukisan hanya
baru siap 80 persen. Saya bercadang mahu
menulis bait-bait puisi karya
beliau yang sesuai untuk dijadikan latarbelakang lukisan itu. Demikian
saya memberitahu beliau. Beliau diam.
Saya membelek, mencari helai demi helai puisi-puisi dari
buku beliau yang agak sesuai dengan lukisan,
sekaligus menepati citarasa saya. Akhirnya
bertemu dengan puisi pendek berjudul “Pak Mat dan Sungai Pulau Melaka” Dari
antologi puisi “Bayang Beringin” (ITBM 2013).
Saya mengenali nama Rahimidin Zahari, sosok sasterawan,
budayawan hebat asal Kampung Peringat sekitar tahun akhir 1990an lewat ruangan
sastera majalah dan akhbar. Setiap kali fotonya terpampang di lembar akhbar
atau majalah, saya merenung lama foto itu. Mesin berfikir berputar mencari “Siapa
pemuda Kg. Peringat ini, anak siapa, di
mana rumahnya, siapa leluhurnya?” Saya bertanya diri sendiri “ bagaimana saya
tak kenal, walhal katanya orang Peringat, sedangkan saya juga orang Peringat”. Namun
tak menemui jawapan yang pasti.
Usia Rahimidin muda satu generasi dengan saya. Tahun 1968
saya merantau ke kota, ketika itu beliau baru lahir. Tahun 2004 saya
pulang ke kampung. Saat menetap di kampung, Rahimidin suadah merantau ke kota. Rupanya kami berselisih
dalam perjalanan panjang mencari rezeki. Justeru kami tak kenal secara empat
mata. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini kami berjumpa, bertanya secara
terus terang “Zahari (ayahnya) itu siapa?” Bila beliau memberitahu, cucu Tok
Haji Pak Dam, Padang Mo’kan, kotak ingatan saya terus terbuka luas, terbayang era tahun 60an. Rupanya gemulah Zahari itu memang saya kenal
baik. Manakala Tok Haji Pak Dam hampir semua warga kampung Peringat mengenalinya
- sosok gedebe. Jarak rumah saya dengan rumah Rahimidin sekitar satu setengah
kilometer saja.
Kalau saya ke Kuala Lumpur, tinggal di Taman Koperasi Polis II, saya menelefon
beliau, mengajak ngopi bersama di warung
pinggir jalan. Kebetulan beliau juga tinggal di taman yang sama, hanya berbeda
jalan saja. Dalam pertemuan itu seringnya beliau membawa senaskah buku puisi untuk diberikan kepada saya. Demikian akrabnya dua insan yang sama-sama
meminati budaya sastera.
Rabu pagi tanggal 6 Mei 2015 mendapat berita lewat facebook,
Rahimidin dimasukkan ke Hospital
Selayang kerana ada darah beku di
kepalanya (akibat tekanan darah tinggi)
. Dari Hospital Selayang dia dipindahkan ke Hospital Sungai Buluh, Selangor.
Saya amat terkejut.
Ketika di hospital
Sungai Buluh saya sempat menziarahi beliau. Seorang sahabat lama, Wan Mohd Said
Mehdi membawa saya ke Sungai Buluh dengan mobilnya sebaik saya tiba di Kuala Lumpur dengan pesawat udara
suatu sore. Ramai saudara mara, ibu, dan sahabat handai Rahimidin menunggu giliran untuk masuk melawat,
pihak hospital hanya membenarkan dua pelawat
saja sekali masuk. Saya pelawat
pertama bersama Sasterawan Negara, Datuk Muhamad Haji Salleh. Rahimidin dalam
kondisi koma. Beberapa minit kemudian,
jururawat meminta kami berdua beredar,
kerana pesakit akan di bawa ke kamar bedah (operasi kepala). Sore itu hanya
kami berdua berkesempatan masuk yag lain menunggu di luar.
Sebelum beredar, jururawat membisik kepada kami, siapa
sebenar pesakit ini, pengunjungnya sangat ramai dari pelbagai latarbelakang,
VIP, Datuk, Tan Sri …… “Beliau bakal
sasterawan negara” kata saya sambil senyum.
Khamis sore, 14 Mei
2015 dia dipanggil dengan tenang oleh Allah Yang Maha Kuasa, setelah tak sedar
diri selama seminggu akibat strok. Beliau meninggalkan seorang isteri, lima
anak lelaki dan dua perempuan.
Pagi yang dingin 15 Mei 2015, embun masih basah di rumputan,
rumah ibunya di Becah Keranji menjadi
tempat berkumpul sahabat-sahabat Allahyarham untuk solat jenazah, seterusnya
mengucap selamat jalan kepada Allayharham yang akan pergi menemui Khaliqnya. Dari
kalangan penyair Negeri Kelantan, antaranya Norhisham Mustafa, Rudi Mahmood, M.
Arif, A. Maarof Seman, Wadi Leta SA, Abdul Hadi Yusof, Mockhter Awang, Azmi
Yusof, SM Noor, Tuan Sharif Putra (Terengganu), sementara dari Kuala Lumpur, Dr
Saaleh Rahmad, Dr Salleh Yakob, Dr Shamsudin Othman, mereka datang bersama mengiringi jenazah Allahyarham pada malam itu.
Penyair Sukri Abdullah datang 4 hari kemudian. Saya tunjukkan kubur Allahyarham
kepada beliau. Solat jenazah diimamkan oleh Imam Mat dari Masjid Mukim
Peringat.
Puisi beliau, keseluruhannya banyak berkisar tentang
ketuhanan dan kematian, selain mengangkat budaya Kelantan sebagai fokus
utamanya. Antaranya puisi :
Bau tanah
Tubuhku yang sebati
dengan bau tanah
Rabb,
Sahabat-sahabat Allahyarham menunggu untuk solat jenazah |
sekitar tengah malam ini
bulan ditudung kabus
aku menghidu
jalan ke kuburan.
Hei,
kau yang berjalan-jalan
di atas diriku
bilakah kau
akan kembali
ke dalam dirimu
Saya tertarik dengan
sajak Allahyarham berjudul
“Negeri Batang Pisang”. Sajak yang dimuat dalam antologi puisi “ Laut Tujuh
Gelombang Buih” itu walaupun tak panjang
tetapi tersirat makna yang mendalam. Sang penyair mengkisahkan “Negeri Batang
Pisang” sebuah negeri tanpa bumi, tanpa
langit, tanpa sungai, tanpa laut, tanpa
bulan dan matahari. Lampu 40wt sudah
cukup untuk menerangi negeri luas sedapa
itu.
Negeri Batang
Pisang yang berdaulat itu politik paling
busuk dan hodoh mengalir dari mulut sosok yang bernama Rawana. Kerjanya mahu
mempenjarakan musuh-musuh politiknya. Namun kes liwat tak pernah ditimbulkan.
Aib rakyat jelata dijaga. Maruah Negeri
Batang Pisang harus dipelihara.
“Negeri Batang
Pisang” digerakkan oleh “Tok Dalang” yang memiliki suara yang boleh berubah-ubah mengikut
keperluan. Suara itu walaupun beragam
bunyi, namun terbit dari
mulut yang satu. Kebijaksanaan itu bukan
milik semua orang, hanya ada pada Tok
Dalang. Satu lagi kehebatan yang menjadi lambang kekuasaan Tok Dalang ialah
kuasa mutlak. Keabsolutan itu sehingga Ia bisa memenjarakan sesiapa saja yang
ia tak suka dan memberi kesenangan kegembiraan kepada sesiapa ia kehendaki.
Selebihnya, Ia boleh meberhentikan permainan serta merta atau melanjutkan
permainan sehingga bermalam-malam, bertahun-tahun lamanya sehingga khalayak penonton jemu
bosan.
Negeri Batang pisang
bukan sebuah negeri demokrasi. Rakyatnya tak kenal peti undi, tak
ada pentas ceramah politik, tak
ada BR1M dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Sistem pemerintahannya otokrasi sejak zaman dun takala
mula.
Negeri Batang Pisang sebuah negeri paling sempit di dunia,
keluasannya hanya sedepa orang dewasa.
Di situ berdiri istana, tempat bertakta Tan Seri Rama, Siti
Dewi, Laksamana, inang pengasuh dan hamba sahaya. Di situ juga Hanuman Kera Putih, Bota Mahrajawana,
Sagariwa, Babusanam bermukim dan
berperanan. Bota- Sosok yang satu ini
sering dikaitkan dengan kuasa
kejahatan, justeru tak menghirankan jika
pergaduhan, adu domba bahkan peperangan berlaku setiap masa. Dalam
mana-mana peradaban pun watak
baik dan jahat sentiasa wujud. Peradaban wayang kulit juga tak terpisah
dari situasi ini.
Penyair Nusantara itu semasa hayatnya berkerja sebagai
manajer panggung Istana Budaya, Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur dan editor
majalah Pentas Istana Budaya. Selamat jalan sahabatku. Seminggu selepas
pemergiannya, saya bermimpi; dalam mimpi itu ada seseorang yang tak digambarkan
dengan jelas datang memberitahuku. “Allahyarham hidup senang di sana”. Saya
bertanya “ apakah di sana juga sebagai
penyair?” “Bukan penyair. Noktah! Inn
lillahi wa inna ilaihi rajiun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan