Malaysia (Malaya) merdeka 31 Ogos 1957. Awal kemerdekaan
(akhir 1950an dan awal 1960an), tak
banyak pembangunan dijalankan. Era itu ialah era peralihan kuasa dari penjajah Inggeris kepada
anak watan. Kabinet yang dibentuk lebih memberi tumpuan kepada aspek menyesusuikan diri dengan dunia pentadbiran.
Kangkangan kewangan juga menjadikan pembangunan infrastruktur ketika itu lembab.
Allahyarham Pak Su Nuh |
Namun rakyat tidak pernah merunggut, jauh sekali mencaci
kerajaan. Mereka faham kesulitan terpaksa ditanggung oleh sebuah pentadbiran
baru yang pastinya serba serbi kekurangan termasuk kewangan untuk membiayai
kelompongan yang tak terisi di zaman penjajah. Rakyat mengambil inisiatif sendiri, bergotong royong, menggunakan tulang
empat kerat membina jalan-jalan kampung,
pasar dan sekolah, dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa - apa
balasan. Suatu bentuk pengorbanan yang amat tinggi nilainya, namun pengorbanan mereka tak pernah disebut
generasi sekarang, samada oleh orang politik atau non politik.
Ketika usia saya tujuh tahun, masih ingat. Rumah almarhum ayah
pernah dijadikan tempat mensyuarat jawatankuasa pembinaan sekolah. Waktu itu
sekolah kampung saya - Peringat belum wujud. Satu-satunya sekolah paling dekat ialah
Sekolah Kebangsaan Padang Kala, kurang lebih 4 kilometer dari Kg. Peringat.
Berulangalik ke sekolah dengan berjalan
kaki di bawah panas terik matahati. Bagi ibu bapa yang berada, dibelikan basikal untuk
anaknya ke sekolah. Zaman itu sesiapa memiliki basikal janama Raleigh dianggap orang kaya.
Allahyarham Pak Cu Dir |
Bukan semua murid-murid sekolah pakai kasut, yang berkaki
ayam juga ramai, namun cikgu faham masalah mereka. Baju putih tak kelihatan putih, bersalut lumpur kalau musim hujan
meredah sawah bendang. Baju cepat kotor antaranya kerana papan selit, iaitu
sejenis papan hitam berukuran satu kaki persegi sebagai “buku” tulis dengan mengunakan pensel khusus. Ia boleh dipadamkan selepas habis menulis untuk menulis yang lain.
Murid-murid dari darjah satu sehingga darjah tiga diwajibkan menggunakan papan selit, hanya
murid darjah empat ke atas baru mengenal kartas dan buku.
Tahun 1957 tahun kemerdekaan, saya darjah satu di sekolah
Padang Kala. Ayah belikan basikal Raleigh untuk berulangalik. Zaman itu masih belum ada
basikal untuk kanak-kanak. Semua basikal yang dijual dipasaran ialah basikal untuk
kegunaan orang tua. Ada dua jenis, yang
besar sekaligus boleh muat barang dan satu lagi basikal sports yang bentuknya sedikit kecil.
Ayah belikan basikal sports. Olehkerana
saya belum mahir mengendalikan basikal, dan
tak sepadan pula dengan ukuran badan.
Lalu ayah meminta murid senior Sekolah Padang Kala, bebetulan tinggal di
Peringat dan berjiran pula, iaitu Nawi Pak Ngah. Abe Wi sekarang (2015)
tinggal di Kuala Lumpur selepas bersara
dari tentera.
Allahyarham Tok Gawa Haji Wan Ismail |
Cikgu yang mengajar saya darjah satu asal Kg. Melor, iaitu Cikgu Dauda, keturunan Afgan
atau akrab dengan panggilan Tok Seh (Syeikh).
Anak saudara Cikgu Dauda menjadi bintang filem terkenal di Malaysia
tahun 1970an iaitu Allahyarham Ed
Osmera. Di Kelantan wujud beberapa perkampungan Tok Seh antaranya di Melor, Machang, Jertih
(Terengganu) dan Pekan Golok, Narathawat (Thailand). Mantan Ketua Siasatan
Jenayah PDRM (1980an), Datuk Zaman Khan juga keturunan Tok Seh. Begitu juga
Haji Abdul Razak Abbas, bekas penceramah PAS suatu masa dulu juga keturunan Tok
Seh Afgan. Namun generasi Tok Seh hari
ini rupa parasnya tak berapa Tok Seh, mungkin kerana faktor kahwin campur.
Majoriti rakyat Malaysia (Malaya) ketika itu mahukan
kemerdekaan. Wajah-wajah ceria menunggu dengan debar tanggal 31 Ogos untuk
sama-sama meneriakkan kalimat keramat
“Merdeka”. Bebas dari penjajah Inggeris yang telah ratusan tahun memerintah negeri-negeri Tanah Melayu. Namun dalam suasana
kegembiraan yang tak tergambarkan itu, rupanya terdapat juga warga kampung yang menolak kemerdekaan.
Allahyarham Pak Cu Ya |
Alasan yang diberikan ialah; bangsa kita belum mampu mendari. Mahu bikin sebatang jarum pun belum
mampu, bagaimana mahu memerintah. Rakyat mahu makan apa?. Salah seorang
antarnya ialah Zakaria Ismail (Allahyarham), atau akrab dengan panggilan Pakcu
Ya. Beliau pendokong tegar Parti Negara yang berlambangkan Gemal Padi. Di
rumahnya dan kawasan sekitar ditampal simbol parti yang diasaskan Dato’
Onn Jafaar selepas keluar Umno (1955). Pakcu Ya juga seorang bomoh dan guru
tomoi (boxing) yang terkenal. Pernah berguru (tomoi) dengan beliau.
Ada seorang lagi yang anti kemerdekaan di Kota Bharu.
Lelaki separuh usia yang menjadikan pasar besar Kota Bharu (sebelum pasar Siti
Khadijah) sebagai tempat lepak. Setiap pagi meneriakkan “Merdeka. Merdeka. Merdeka
apa, nak makan nasi berlauk pun payah” Suaranya keras, 100 meter boleh
dengar dengan jelas. Beliau setiap pagi melaung perkataan itu sehingga
menganggu urusan antara penjual dengan pelangan.
Anehnya. Bila diberikan sebungkus nasi berlauk, lelaki itu
pun diam. Namun, beliau akan meneriakkan rasa benci akan kemerdekaan
bila perut kembali kosong. Penjual-penjual nasi berlauk di pasar besar
Kota Bharu sekitar awal tahun 1960an itu sudah benar-benar faham dengan perangai lelaki itu. Kalau tak mahu
diganggu dengan suara bisingnya,
cepat-cepat hulurkan nasi berlauk dan secawan kopi. Lelaki itupun sudah
lama meninggal dunia.
Berbalik kepada pembinaan sekolah Kebangsaan Peringat. Awal
merdeka dikenali sebagai Sekolah Rakyat Peringat, tak lama kemudian ditukar
kepada Sekolah Umum Peringat, sekarang menjadi Sekolah Kebangsaan Peringat.
Biasalah! Bila menteri pelajaran bertukar, nama sekolah ikut bertukar,
sistem pelajaran bertukar, bahkan nama kementerian pelajaran diubah
menjadi kementerian pendidikan. Lebih teruk lagi, nama negara bertukar. Dulu
Persekutuan Tanah Melayu, menjadi Malaya,
mungkin kerana bunyinya tak sedap, diubah menjadi Malaysia.
Allahyarham Pak Cu Ya |
Jawatankuasa pembinaan sekolah Rakyat Peringat dipilih dari kalangan warga kampung
yang berpengaruh dan disegani masyarakat, antaranya yang saya ingat Pak Su Noh,
Pak Cu Ya (Kedai Peringat), Pak Chu Dir, Tok Aji Che Wel, Pak Da Daud (Kg. Kubang Gatal), Tok Wan Omar
(Cabang Tiga Perol), dan Tok Wan Hussain (Depan Bernas). Tok Wan Abbas imam masjid Peringat, Tok Gawa Haji Wan
Ismail Melor sebagai pengerusi.
Jawatankuasa itu akan bersama orang-orang kampung masuk
bukit menebang kayu, bawa balik dengan lori. Kayu-kayu yang berukuran besar
dijadikan tiang, yang kecil buat kasar jantan, perabun, jerial dan
sebagainya. Stelah siap dibangunkan ,
dicari pula daun rumbia untuk buat atap, tukang-tukang mahir menganyam atap
dikerah. Bukan diberikan upah, hanya djamu chaca dengan air kosong. Dinding
juga dari anyaman buluh. Sementara papan
hitam untuk cikgu menulis dari papan yang cat hitam.
Allahyarham Cikgu Nik Sin |
Lantai bukan
dikonkrit dengan semen, ia dari tanah biasa, oleh kerana tiap-tiap hari murid-murid pijak akhirnya menjadi keras macam tanah kor.
Tapi kalau musim hujan tangkujuh , kebetulan atap tiris, lantai menjadi seperti
tempat itek berkubang. Tapi cikgu-cikgu dan murid-murid tak merunggut. Demikian
tinggi tahap kesabaran datuk nenek kita
dulu menjalani kehidupan yang serba getir.
Jawatankusa pembinaan sekolah rakyat itu harus pula
menyumbang setiap orang seorang guru untuk mengajar di sekolah itu secara
sukarela. (Tetapi Kementerian Pelajaran ketika itu berjanji guru-guru itu akan
diserapkan menjadi guru tetap bergaji/berpencen dibawah kementerian).
Pak Su Noh menyumbang
anaknya Cikgu Nik Mat, Pak Cu Ya Kateh menyumbang Cikgu Shaari yang diimpot dari Perak, Tok Wan Hussain- anaknya Cikgu Awang, Tok Wan Omar – Cikgu
Razak Padang Mokan (atau Cikgu Arifen Padang Mokan?), Pakcu Dir – Cikgu Ismail,
Pak Da Daud menyumbang warisnya Cikgu Hamid, manakala ayah saya Tok Aji Che Wel, tak ada anak lelaki
yang cukup umur, maka disumbangkan waris
terdekat iaitu Cikgu Hashim.
Cikgu Nik Yahya |
Kurang lebih setahun guru-guru ini mengajar tanpa gaji atau
elaun. Bagi anak-anak orang kaya seperti
Cikgu Nik Mat tak menjadi masalah, tapi yang lain saya lihat tak bertukar baju.
Pergi mengajar naik basikal buruk. Namun setelah kementerian membayar gaji dan
gaji tertunggak, perubahan fizikal naik
mendadak. Mokosikal - motosikal
Honda di pakar di depan sekolah menggantikan basikal cabut dah naik kurap. Itu
biasalah! Yang penting ialah kesabaran bekerja selama setahun tanpa gaji.
Nama-nama besar pengerak masyarakat Kg. Peringat era awal
kemerdekaan itu sudah tiada lagi. Dari Allah mereka datang, kepada Allah jua
kembali. Ayahku yang dikasih Tok Aji Che Wel, Abang Iparku Pak Da Daud, Pak Chu Dir, Tok Wan Omar, Pak
Su Noh, Tok Wan Hussain, Pak Cu Ya Kateh, Tok Gawa Haji Wan Ismail. Begitu juga
cikgu-cikgu yang turut menyumbang tenaga dan ilmu untuk mendidik anak-anak kampung Peringat seperti Cikgu
Shaari, Cikgu Awang, Cikgu Razak, Cikgu Arifen, Cikgu Hamid, Cikgu Hashim
juga sudah kembali ke Rahmatullah. Yang
tinggal (2015) Cikgu Nik Mat, Cikgu
Ismail, Cikgu Nik Yahya. Kepada tokoh yang sudah pulang ke negeri akhirat kita
hadiahkan Al Fatehah…diiringi dengan doa, berbahagialah di alam sana bersama
orang-orang beriman dan bertakwa, dan kepada yang menunggu giliran, juga dengan doa agar kita tutup kehidupan kita
di dunia yang fana ini dengan kalimat Laillah
illallah , Muhammadul Rasulullah.