Menjelang Aidilfitri, terbayang mereka yang telah pergi,
lebih-lebih lagi ibu dan ayah. Ayah
menutup usia katika saya masih
dibangku sekolah rendah, manakala ibu,
saat saya bekerja di Kuala Lumpur- awal 1990an.
Bersama ayah tak lama, kurang lebih 10 tahun sahaja. Tak banyak
kenangan. Yang masih terbayang dalam
ingatan ialah; ayah dan ibu menunaikan fardu haji ke Mekah tahun 1958 dengan menaiki kapal laut melalui pelabuhan Pulau Pinang.
Saya tak ke Pulau Pinang menghantar
ayah/ibu, ditinggalkan dikampung bersama kakak yang sekarang masih hidup. Diberitahu, ayah naik kapal laut bernama
Anson. Pelayaran ke Juddah memakan masa
sebulan, singgah untuk urusan lojistik di Cyelon (Sri Langka) dua hari, kemudian meneruskan
pelayaran merentasi samudera Hindi yang
bergelora.
Sepulang ayah dari
Mekah, beliau beritahu, ada laut dua warna, satu berwarna biru tua, satu lagi
biru pucat. Tak bercampur antara satau sama lain, kayaknya seperti jalur sempadan yang panjang di samudera. Rupanya orang
tua dahulu sudah tahu wujudnya kondisi laut yang sebegitu rupa, hanya
tak pandai menyebutnya dalam bahasa
sains.
Seterusnya ayah beritahu, ramai jamaah yang mati ketika dalam pelayaran,
samada ketika pergi atau balik. Jenazah dikapankan dan diikat dengan besi, usai
solat, jenazah diturunkan perlahan-lahan hingga mencerceh air laut, tali dilepaskan,
jenazah hilang dari pandangan, tengelam ke dasar lautan, yang tampak
ikan-ikan mengekori.
Perjalanan laut memakan masa dua bulan, sebulan pergi dan sebulan balik, tinggal di Tanah Haram sebulan. Tiga bulan suatu masa yang lama berbanding
sekarang maksimal 45 hari. Justeru
sebelum berangkat, ayah menyediakan keperluan secukupnya terutama makanan
sampingan untuk di makan di atas kapal. Dimuat dalam kotak kayu.
Ibu mendewasakan saya
dengan adat budaya yang ketat. Banyak pantang larang. Ibu paling marah
jika ternampak saya memakai topi. Suatu
hari, saat hujan gerimis sore, saya meminjam topi jiran untuk pulang ke rumah agar kepala tak
dibasahi air hujan. Sampai di rumah
dilihat ibu. “ Jangan pakai topi, ini pakaian Yahudi. Kamu nak jadi Yahudi
ke?” Suara ibu meninggi. Saya terkejut, tak faham, kenapa topi dikaitkan dengan Yahudi.
Setelah dewasa, baru saya faham, topi pakaian pendita atau
Rahib Yahudi. Bagaimana ibu tahu semua
itu, sedang ibu seorang buta huruf. Di
sisi lain lidahnya sentiasa basah dengan
ayat-ayat suci al Quran. Di bulan
Ramadan, setiap kali usai solat fardu
ibu membaca al Quran. Al Fatehah buat
ibu dan ayah yang dikasihi. Ya
Allah, ampunlah dosa mereka dan
terimalah taubatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan