Tahun 1960an, ketika itu istilah “belia” belum popular. Persatuan belia
dinamakan Persatuan Pemuda Pemudi. Kampung Peringat tak kurang hebatnya dengan
persatuan pemuda pemudi, ramai keahlian,
termasuk muda mudi kaum Tiong Hwa. Pengerak utama antaranya Cikgu Hashim Abdul Rahman (Allahyarham), Cikgu
Nik Yahya. Cikgu Nik Mat Pak Su Nus, Cikgu Ismail Kadir dan lain-lain. Setiap
kali mesyuarat agung tahunan, pegawai belia negeri diundang merasmikannya.
Menjadi ahli persatuan suatu kebangaan pemuda pemudi Peringat ketika itu. Persatuan menjadi medan tempat
bertemu, berkenalan, bertukar fikiran. Antara
aktiviti yang menonjol ialah pementasan semacam
konsert, antara nama yang sinonim ialah “Anekaragam”, bertujuan memberi hiburan percuma kepada warga desa. “Anekaragam” terangkum di dalamnya, nyanyian, lawak jenaka, teater sebabak dan lain-lain.
Khalayak, tua muda, lelaki perempuan, kanak-kanak, berduyung-duyung datang
memenuhi tanah lapang, selalunya dibuat di padang Sekolah Arab Peringat (dulu
Diniah, sekarang Al Kautsar).
Barisan pelakonnya daripada ahli persatuan, antaranya
Mohamad Haji Ismail, akrab dengan panggilan Adek Mat anak Tok Imam Haji Ismail,Perol.
Asal Adek Mat Kg Perol, tahun 1960an beliau membuka kedai baiki radio di Cabang
Tiga Peringat. Zahari Che Din
(Allahyarham), Cikgu Ismail Pakcu Dir,
Zakaria Wan Hussain atau Ya Tok Wan Hussain (Allahyarham), Awang Mok Embong, Che Hassan Pak Yan atau nama Cinanya Guan
Shim Teh (sekarang tinggal di Kuala Lumpur), Nik Mud Paksu Nuh, Rosidi Semail,
Che Mat Che Omar atau Che Mat Rindu Kg Tok Khalid (Allahyarham) dan Manaf
Kampung Sungai. Manaf selepas itu (1960an) memasuki angkatan tentera. Hilang khabar berita, tak pernah jumpa
sehingga sekarang (2016).
Sementara biro sukan pula, menubuhkan team bola sepak. Pasukan
bola sepak Peringat antara pasukan digeruni tahun 1960an. Pengerak utama ialah
Haji Mohd Zain Hassan atau Mat Zain Tok Ngulu Wok Hassan, Padang Mengkali (sekarang
saudagar kereta Perdua- Nasrom Motor) dan Adek Mat bertindak sebagai jurulatih.
Ahli Persatuan Pemuda Pemudi Peringat tak ada yang berkelulusan tinggi. Ketika itu guru sekolah rendah pun lulusan Sijil
Rendah Pelajaran (SRP). Di Kg. Peringat orang pertama berjaya ke universiti,
kalau tak silap ialah Cikgu Nor Mat Daud (Allahyarham). Ketika itu awal 1960an,
orang bercakap rata riti, kisahnya meniti dari bibir ke bibir, anak pemetik
kelapa (guna khidmat beruk) masuk universiti.
Kekal menjadi kebanggaan
bagi remaja 1960an ialah, walaupun
pelajaran akedemik rendah, namun mampu mengerakkan persatuan, memberikan hiburan percuma kepada warga. Penduduk kampung
terhibur dan respect kepada belia. Terjebak dengan gejala dadah jauh panggang
dari api. (Dadah datang tahun 1980an) . Jenayah mencuri amat minimum, kalau ada pun
sekali sekali kes mencuri lembu, kerbau, dan ayam.